Thursday, October 1, 2009

HANTU AIR

Hantu air tinggal di sungai-sungai terutama yang menjadi lubuk ikan. Ada pendapat mengatakan bahawa hantu ini mula dikenali di Singapura. Hantu air boleh berenang dan menyelam dengan baik dan mencari makan dengan memasuki jaring yang di pasang di pinggir sungai. Pada masa dahulu nelayan mendapati bubu yang dipasang juga dijadikan sasaran oleh hantu air untuk mendapatkan ikan yang banyak terperangkap dalam bubu tersebut.

Antara mitos yang terkenal membabitkan hantu air ialah kisah seorang lelaki bernama Badang yang menjadi kuat setelah memakan muntah hantu air yang merosakkan bubunya. Dipercayai, hantu air selalu tersangkut pada jaring yang dipasang nelayan kerana kekenyangan memakan hasil sungai yang terdapat dalam jaring nelayan.

Disediakan oleh : Encik Nazri Ghani.
Ilustrasi dan idea asal : Encik Anuar Albar Bakri.
Orang minyak bukanlah spesis hantu tetapi merupakan manusia yang mengamalkan ilmu hitam untuk menjadi kebal dan halimunan. Cerita orang minyak amat terkenal di Jasin, Melaka. Orang minyak amat aktif bermula pukul 12.00 malam hingga 5.00 pagi. Orang minyak mempunyai kepakaran dalam memasuki rumah orang tanpa disedari dan akan melakukan perkara yang tidak baik terutama kepada gadis kerana ia merupakan sebahagian daripada tuntutan amalan mereka. Orang minyak juga dikatakan kebal dan berupaya melemahkan musuhnya dengan tenungan yang tajam.

Pengamal ilmu halimunan dan kebal dikenakan syarat tertentu selama 40 hari. Akibat melanggar pantang yang ditetapkan, pengamal tersebut akan menjadi orang minyak. Untuk kembali menjadi manusia biasa, mereka mesti menodai beberapa gadis terutama yang tingggal berseorangan di rumah dan yang pulang hingga lewat malam. Orang minyak amat takut dengan api, jala, buluh dan adakalanya jantung pisang. Jadi, berhati-hatilah para gadis supaya jangan berpakaian menjolok mata kerana anda akan dijadikan sasaran pada malam hari.

Disediakan oleh : Encik Nazri Ghani.
Ilustrasi dan idea asal : Encik Anuar Albar Bakri.

Wednesday, September 30, 2009

HANTU POCONG

Hantu pocong suatu ketika dahulu amat terkenal di Singapura. Hantu ini biasa ditemui di kawasan perkuburan dan kawasan sunyi. Dipercayai hantu ini menjelma daripada orang mati yang tidak disempurnakan jenazahnya dengan betul.

Menurut cerita orang tua-tua, mayat yang dikafankan akan dimasukkan ke liang lahad tetapi terdapat beberapa kes mereka yang bertanggungjawab menyemadikan mayat itu terlupa untuk membukakan ikatan kain di bahagian kepala si mati. Akibatnya apabila telah dikebumikan jelmaan seperti mayat ini akan bangun dan mencari manusia yang ditemuinya bagi membuka ikatan di bahagian kepalanya.

Hantu pocong dipercayai bergerak dengan melompat-lompat dalam keadaan badannya yang masih berbalut dengan kain kafan yang terikat kemas di tubuhnya. Makanan pocong ialah tanah kubur di mana tempat dia tinggal.

Disediakan oleh : Encik Nazri Ghani.
Ilustrasi dan idea asal : Encik Anuar Albar Bakri.

Tuesday, September 29, 2009

PONTIANAK


Pontianak merupakan hantu yang paling jelita dalam kalangan spesis hantu. Hantu ini popular di negeri Terengganu. Pontianak biasanya tinggal di hutan dan sesekali merayau masuk ke pinggir kampung bagi mendapatkan makanan dan menghisap darah haiwan ternakan. Pontianak juga gemar akan darah binatang yang terdapat di hutan di sekitar kawasan tempat tinggalnya.

Pontianak dipercayai berasal daripada wanita yang mati ketika melahirkan anak dan tidak disemadikan dengan sempurna. Pontianak mampu terbang dari satu lokasi ke lokasi yang lain dan gemar menyanyi untuk menghiburkan hatinya yang lara. Pontianak amat takut dengan besi tajam seperti paku kerana dipercayai jika ada manusia yang berani menikam belakang leher pontianak dengan paku tajam, maka pontianak akan bertukar menjadi perempuan yang cantik.

Pontianak akan mula merayau-rayau apabila tiba waktu maghrib hinggalah ke waktu subuh. Pontianak biasanya akan mengumpan mangsanya dengan keayuan wajahnya dan akan membawa mangsa ke rumahnya iaitu kawasan perkuburan atau pokok besar di pinggir hutan. Oleh itu, awas jika anda seorang lelaki yang macho, anda mungkin menjadi mangsanya selepas ini.

Disediakan oleh : Encik Nazri Ghani.
Ilustrasi dan idea asal : Encik Anuar Albar Bakri.

JEMBALANG TANAH


Hantu yang dipaparkan di atas ialah jembalang tanah. Hantu jenis ini amat terkenal di negeri Terengganu. Hantu ini amat mesra dengan hutan dan gemar memakan cengkerik dan cicak. Jembalang tanah diktakan amat pemalu namun amat berbahaya bagi pengembara hutan. Jembalang tanah boleh bertukar rupa menjadi pokok atau tunggul kayu bagi mengelirukan mangsa-mangsanya di dalam hutan. Hantu ini sentiasa aktif dan akan menyesatkan orang yang masuk ke hutan jika tidak mempunyai ilmu tentang hutan dan melakukan sesuatu perkara yang melanggar pantang larang di hutan.

Bagi mengelakkan daripada terus sesat di hutan dek kerana perbuatan jembalang ini, pengembara biasanya akan berbogel bagi sambil mencari arah untuk keluar atau menuju sesuatu lokasi yang dikehendaki. Dipercayai, apabila berbogel, jembalang akan berasa malu melihat perlakuan mangsa dan berlalu dari situ dan tidak menggangu mangsa lagi.

Disediakan oleh : Encik Nazri Ghani.
Ilustrasi dan idea asal : Encik Anuar Albar Bakri.

HANTU RAYA


Hantu raya merupakan hantu yang bersaiz paling besar. Hantu ini amat terkenal di negeri Johor ( Utara ). Hantu ini biasanya dipelihara oleh manusia dengan diberi makan telur ayam kampung. Seperti hantu-hantu lain, hantu raya juga merupakan hantu daripada spesis jin.

Hantu raya biasanya ditugaskan oleh penjaganya untuk menjaga kebun, rumah dan harta tuannya. Hantu raya juga mempunyai kebolehan untuk melakukan kerja-kerja berat dan sering menyamar menyerupai tuannya bagi mengelirukan orang ramai tentang kehebatannya melakukan kerja yang melebihi tenaga manusia biasa.

Hantu raya akan menyamar menjadi tuannya apabila tuannya tiada di sisi. Hantu ini akan melakukan rutin harian tuannya termasuk tugas sebagai seorang suami kepada isteri tuannya. Masa yang aktif bagi hantu ini ialah sekitar jam 7.00 malam hingga 5.00 pagi. Bagi mengelakkan gangguan hantum ini, ada pendapat menyarankan agar menabur garam di sekeliling rumah atau menabur garam ke arah hantu tersebut jika dikenal pasti cuba mengganggu manusia.

Disediakan oleh : Encik Nazri Ghani.
Ilustrasi dan idea asal : Encik Anuar Albar Bakri.

HANTU PENANGGAL


Hantu ini dikenali sebagai hantu penanggal. Hantu ini amat popular di negeri Johor terutama di bahagian Selatan. Hantu penanggal ini adalah berasal dari manusia yang mengamalkan ilmu hitam yang tinggal di rumah pada siang hari dan keluar rumah terutama ketika bulan mengambang.

Hantu penanggal boleh bergerak dengan laju secara terbang di awang-awangan serta mengeluarkan bunyi seakan bunyi burung. Hantu ini amat takut dengan tumbuhan yang berduri seperti mengkuang dan lain-lain. Manusia yang mengamalkan ilmu hitam dan bertukar menjadi hantu penanggal pada waktu tertentu bertujuan untuk kelihatan sentiasa awet muda. Dipercayai setiap kali bulan mengambang, pengamal ilmu penanggal mesti meminum darah kotor seperti darah haid dan nifas. Jika gagal meminum darah tersebut dalam masa yang ditetapkan, maka pengamalnya akan berasa muka mereka terbakar.

Pada suatu ketika dahulu, apabila ada orang bersalin, keluarga mereka akan meletakkan mengkuang di bawah rumah bagi mengelakkan hantu penanggal mengganggu wanita yang akan bersalin tersebut. Ada juga terdapat keluarga yang menanam tumbuhan berduri bagi memagari rumah mereka daripada dihampiri hantu penanggal.

Disediakan oleh : Encik Nazri Ghani.
Ilustrasi dan idea asal : Encik Anuar Albar Bakri.